Ramai yang mengaku Islam tetapi hakikatnya ramai juga yang tidak mempunyai kefahaman asas tentang Islam. Lantas perjalanan hidupnya mengikut adat kebiasaan masyarakatnya. Tidak terkecuali, cara menunaikan ibadah-ibadah yang empat itu iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji.
Lantaran sudah kehilangan kefahaman asasnya, ibadah-ibadahnya tidak terkecuali sembahyang, ditunaikan mengikut takrif sahaja. Bagi sembahyangnya ditunaikan mengikut takrif yang menyebut perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Dengan kontek takrif ini mereka mendirikan sembahyang sekadar menunaikan 13 perkara yang disebut sebagai rukun itu. Inilah adat sembahyang bagi kebanyakan orang.
Oleh kerana adatnya begitu maka mereka rasa sudah selesa setelah menunaikannya lima waktu sehari semalam. Selepas salam tiada apa-apa lagi yang hendak difikir-fikirkannya. Oleh kerana rata-rata budaya sembahyang kita seperti ini maka tidak pernah timbul sembang-sembang untuk memikirkan semula konsep sembahyang yang betul.
Sembahyang adalah Rukun Islam. Mengikut Kamus Dewan, rukun bererti asas dan tonggak, dan Islam adalah cara hidup. yang bermaksud bahawa cara hidup kita sepatutnya adalah yang berasaskan ibadah sembahyang. Namun, fenomena menunjukkan konsep sembahyang ini tidak hadir dalam fikiran kebanyakan kita. Lantas, cara hidupnya tidak serasi dengan sembahyangnya. Lihat sahajalah, betapa berleluasanya kemungkaran yang berkait dengan sembahyang berlaku setiap masa di mana-mana sekalipun.
Sebagai asas dan tonggak cara hidup, sembahyang kita seharusnya yang menepati aspirasi Islam. Lihatlah apa yang terkandung di dalamnya, dan renung kembali adakah sembahyang kita sudah menjurus ke arahnya.
Inilah sebabnya ada sembahyang yang ditolak, sembahyang yang tidak diredhai Allah, Allah melabel sembahyang kita dengan kod sembahyang itu untuk dirimu, sembahyang sahaja belum cukup, dan sebagainya.
Justeru, marilah kita sama-sama membetulkan keadaannya semoga mendapat rahmat Allah. Ingatlah kita masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan dengan amalan-amalan kita.
No comments:
Post a Comment